BTS Media

Maghribi sekat kemasukan pelancong dari China kerana penularan Covid-19

Oleh Yusoff A. Shariff

 

MAGHRIBI mula menguatkuasakan larangan kemasukan pelancong dari China mulai 3 Januari berikutan peningkatan kes COVID-19.

“Pihak Berkuasa Maghribi memutuskan untuk melarang kemasukan ke wilayah Maghribi kepada semua pengembara dari China tanpa mengira kewarganegaraan mereka,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan kementerian luar negara itu.

Ia bagi mengelakkan gelombang penularan baharu pandemik tersebut di negara itu.

Selain Maghribi, Kanada semalam mengumumkan bahawa ketibaan dari China, Hong Kong dan Macau perlu menunjukkan keputusan ujian negatif saringan COVID-19 sebelum menaiki penerbangan ke negara itu.

Menurut Kementerian Kesihatan Kanada, semua pengembara yang tiba melalui udara dari China ‘perlu mengemukakan bukti keputusan negatif ujian COVID-19 yang perlu dibuat tidak lebih dua hari sebelum berlepas, kepada syarikat penerbangan sebelum menaiki pesawat.

Ia wajib bagi pengembara berumur dua tahun dan ke atas berkuat kuasa 5 Januari ini. Langkah itu akan berkuat kuasa selama 30 hari.

Tindakan diambil susulan lonjakan kes dan ‘data jujukan genom epidemiologi serta virus yang terhad pada kes ini’, menurut Kementerian Kesihatan.

Sebelum ini Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Jepun, Itali dan Sepanyol turut menguatkuasakan keperluan perjalanan baharu untuk semua ketibaan dari China, termasuk keputusan ujian negatif COVID-19.

Baru-baru ini, China mengumumkan pelonggaran langkah pencegahan pandemik dan memilih ‘hidup bersama COVID-19’ selepas tiga tahun dikenakan sekatan, penutupan sempadan dan kuarantin wajib.

Antara langkah penting ialah pembukaan sempadannya mulai 8 Januari ini setelah ditutup sejak pandemik Covid-19 bermula pada akhir 2019.

-BTS Media

Leave a Comment