GAMBAR ATAS: Picture Alliance.
Oleh Fetty Rara
BANDAR RAYA di China dari Wuhan hingga ke Xining di barat laut negara itu telah memperketat langkah sekatan bagi mengekang penularan Covid-19, dengan menutup bangunan, melarang keluar masuk ke daerah.
Tindakan terbaharu itu semakin menyusahkan berjuta-juta penduduk yang mendapati sukar untuk menjalankan kehidupan seharian, lapor media antarabangsa.
Semalam (Khamis 26 Okt), China mencatatkan lebih daripada 1,000 kes baharu Covid-19 tiga hari berturut-turut di seluruh negara, justeru mencetuskan kebimbangan perintah ‘lockdown’ mungkin dilaksanakan di serata wilayah sekiranya keadaan menjadi serius.
Ibu kota wilayah Guangdong, Guangzhou yang merupakan bandar raya keempat terbesar di China mengikut kadar pengeluaran ekonomi, pada Khamis telah bertindak menutup lebih banyak jalan raya dan kawasan penduduk berisiko dengan melaksanakan perintah berkurung kerana kemunculan semula Covid-19.
Wuhan, lokasi punca penularan pandemik Covid-19 pertama di dunia pada akhir 2019, melaporkan sekitar 20 hingga 25 jangkitan baharu sehari minggu ini, namun pihak berkuasa tempatan tetap menguatkuasakan perintah berkurung sehingga 30 Okt ke atas lebih 800,000 penduduk di sebuah daerah.
Menurut catatan di media sosial, Wuhan juga menangguhkan penjualan daging babi di beberapa bahagian bandar raya, selepas satu kes Covid didapati mempunyai kaitan dengan rantaian bekalan daging babi tempatan.
Di Xining, ibu kota wilayah Qinghai, media sosial melaporkan tentang masalah kekurangan makanan dan inflasi harga untuk barangan keperluan ketika pihak berkuasa kesihatan di bandar yang didiami oleh lebih 2.5 juta orang itu bergegas berusaha untuk menyekat penularan Covid-19 berikutan cuti Hari Kebangsaan selama seminggu pada awal Oktober.
“Untuk mengurangkan risiko penularan, beberapa kedai sayur-sayuran dan buah-buahan telah ditutup dan diletakkan di bawah arahan kuarantin,” kata seorang pegawai kerajaan Xining pada Rabu.
Beberapa bandar raya lain di Cina, termasuk Zhengzhou, Datong dan Xian telah melaksanakan sekatan baharu minggu ini untuk mengekang jangkitan tempatan.
Di Beijing, taman tema Universal Resort ditutup pada Rabu selepas sekurang-kurangnya seorang pengunjung disahkan positif Covid-19.
-BTS Media