BTS Media

Dasar sifar Covid-19 China jejas eksport durian Thailand

 

Oleh Zainal AS Rashid

Pengusaha durian Thailand muncul sebagai kumpulan terbaharu terkesan oleh dasar sifar Covid-19 China.

Keadaan menyebabkan jualan hasil tanaman mereka kepada ekonomi kedua terbesar di dunia itu merosot berikutan pemeriksaan import yang lebih ketat, lapor Nikkei Asia

Kebimbangan China ‘mengimport’ Covid-19 telah mencetuskan kesan berantai di seluruh dunia, dan dengan penguatkuasaan perintah ‘lockdown’ ketat di beberapa bandar raya besar, kesannya dijangka akan menjangkau lebih jauh.

Pada 26 April lepas, China menutup sementara pusat pemeriksaan Mohan di Wilayah Yunnan, yang bersempadan dengan Laos, setelah virus berkenaan dikesan dalam bekas durian dari Thailand.

Ini kali kedua dalam bulan April China mengumumkan penutupan sempadan berikutan pengesanan virus dalam bekas buah-buahan dari Thailand.

Penutupan itu menyebabkan durian yang sangat mudah rosak terbazir, justeru mengakibatkan kerugian besar bagi penanam durian Thailand.

Keadaan turut menyebabkan harga durian di pasaran domestik merudum.

Kesan daripada sekatan itu juga menyebabkan peladang durian Thailand begitu terhimpit dan amat memerlukan bantuan segera daripada kerajaan. Mereka tidak mampu untuk menyerap kerugian setelah bekalan berlebihan, kata seorang pengusaha dusun durian.

Faktor lain yang mempengaruhi harga ialah peningkatan pengeluaran.

Thailand diramal mengeluarkan 1.4 juta tan durian tahun ini, iaitu kenaikan 17% berbanding tahun lepas di mana permintaan tinggi dari China sejak beberapa tahun kebelakangan ini merangsang pengusaha durian Thailand menanam lebih banyak pokok durian.

Kini, harga durian Thailand jatuh kepada sekitar 100 baht, atau AS$2.90 sekilo, merosot  daripada 150 kepada 200 baht setahun lalu. Harga dijangka terus menurun sekiranya China mengekalkan pemeriksaan ketat ke atas import durian Thai.

Menteri Perdagangan Jurin Laksanawisit berkata kerajaan sedang berunding dengan pihak China untuk menyambung semula perdagangan di pusat pemeriksaan Mohan, dan memudahkan urusan eksport durian melalui pelabuhan utama Bangkok dan Laem Chabang di bandar timur Chonburi bagi mempercepatkan penghantaran durian ke China.

Setiap tahun China membeli kira-kira 50% durian Thailand.

Bagaimanapun, langkah-langkah yang diambil tidak mungkin membantu kerana proses kemasukan durian ke China memakan masa sehingga lima hari akibat pemeriksaan ketat di bawah dasar sifar Covid-19 negara komunis itu.

-BTS Media

Leave a Comment