SEORANG jurulatih yang didakwa menampar dua pemain remaja perempuan telah digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai.
Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) dalam kenyataan malam tadi berkata sebuah badan siasatan bagi kejadian itu akan ditubuhkan segera.
“Mava sama sekali tidak akan bertoleransi dengan sebarang penggunaan kekerasan ke atas mana-mana pihak serta bersedia untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut lunas undang-undang serta Perlembagaan Mava,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, tersebar sebuah video menujulkan seorang jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemain remaja perempuan.
Kejadian itu dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor pada 14 hingga 16 Dis lepas.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementerian itu tidak akan berkompromi dan akan bekerjasama dalam siasatan kejadian tersebut.
“Tekad mewujudkan sekolah selamat untuk semua murid akan sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam ciapan menerusi Twitter malam tadi.
– BTS Media