Oleh Zainal AS Rashid
PENDUDUK Pulau Pinang tempatan yang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup akan mendapat sedikit kelegaan kerana perkhidmatan bas percuma antara bandar di pulau itu dan Bukit Mertajam di tanah besar akan bermula pada 1 Jan.
Perkhidmatan ihsan kerajaan negeri yang akan menghubungkan perjalanan dari terminal bas Bukit Mertajam ke Komtar dan sebaliknya ini, dijangka memudahkan golongan yang memerlukan selain meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, trip percuma di bawah perkhidmatan yang merupakan sebahagian daripada inisiatif CAT, adalah usaha kerajaan negeri untuk memudahkan perjalanan rentas selat.
“Kemudahan untuk berulang-alik jarak sedemikian secara percuma akan memberi manfaat besar kepada golongan berpendapatan rendah,” tambahnya, lapor The Star.
“Perjalanan bas pertama dari bahagian pulau dan Bukit Mertajam kedua-duanya akan berlepas pukul 6.00 pagi pada hari bekerja dengan kekerapan 30 minit sehingga 9.30 pagi.
Perkhidmatan itu akan disambung semula pukul 4.50 petang pada kekerapan yang sama dengan bas terakhir, bertolak pada pukul 7.00 malam dari Bukit Mertajam dan 7.25 malam dari Komtar.
Pada hujung minggu, kekerapan akan dikurangkan kepada perjalanan setiap jam.
Laluan ulang-alik percuma itu bermula dari terminal bas Komtar, menyeberangi Jambatan Pulau Pinang melalui Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. Sepanjang perjalanan, ia akan berhenti di Mydin Bukit Mertajam di Jalan Baru; Jalan Permatang Batu; Jalan Perda Selatan di Bandar Perda; Jalan Permatang Rawa, sebelum berakhir di terminal bas Bukit Mertajam.
Bergantung pada keadaan trafik, keseluruhan perjalanan dijangka mengambil masa sejam 15 minit.
Perjalanan e-hailing biasa dari Bukit Mertajam ke Komtar, perjalanan sekitar 27km, berharga RM52 hingga RM72.
Zairil berkata perkhidmatan itu menyasarkan golongan B40 yang terpaksa berulang-alik melintasi Jambatan Pulau Pinang untuk bekerja setiap hari.
“Ada juga pengguna dari tanah besar yang perlu pergi ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan perubatan,” katanya sambil menambah bahawa terdapat 25 perjalanan percuma setiap hari.
Zairil juga mengumumkan bahawa Pas Mutiara negeri akan diteruskan pada 2023, di mana pengguna boleh menikmati perjalanan tanpa had dengan bas Rapid Penang.
Malah perjalanan feri berkelajuan tinggi antara Butterworth dan pulau akan terus disediakan secara percuma untuk rakyat Malaysia sehingga 30 Jun depan.
Butiran mengenai insiatif Jambatan CAT boleh didapati di www.myrapid.com.my (di bawah Rapid Penang).
-BTS Media