Oleh Fetty Rara
KERAJAAN negeri Pulau Pinang akan meneruskan perkhidmatan feri percuma selama enam bulan lagi sehingga 30 Jun 2023, membabitkan perbelanjaan RM468,000.
Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata perkara itu selaras dengan langkah kerajaan negeri melanjutkan pembiayaan Pas Mutiara yang diumumkan baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, ini bermakna rakyat Malaysia akan terus menikmati pengangkutan awam percuma di Pulau Pinang membabitkan 65,000 tiket sebulan dengan nilai peruntukan bulanan sebanyak RM78,000.
Untuk menikmati perjalanan feri percuma, penumpang hanya perlu menunjukkan MyKad mereka untuk didaftarkan terlebih dahulu di kaunter tiket dan mengimbas pada alat imbas yang disediakan oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) sebelum menaiki feri.
-BTS Media