BTS Media

Air pasang besar: Jumlah mangsa dipindahkan meningkat kepada 1,626 orang di Sabah

GAMBAR ATAS: Bernama.

 

Oleh Zainal AS Rashid

JUMLAH mangsa yang terjejas akibat fenomena air pasang besar di Sabah meningkat kepada 1,626 orang setakat pukul 8.00 pagi hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah berkata empat daerah adalah antara yang terjejas.

“Pitas mencatatkan jumlah tertinggi dengan jumlah 745 mangsa, diikuti Sandakan (684 mangsa), Kota Belud (143 mangsa) dan Kota Kinabalu (54 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, bilangan pusat pemindahan banjir (PPS) yang dibuka untuk menempatkan mangsa terjejas kekal 10.

“Terdapat enam PPS aktif di Pitas, iaitu Balai Raya Agropolitan Kampung Pinggan-Pinggan (277 orang), Dewan Kampung Mempakad (163 orang), dan Dewan Kampung Rosob (156 orang).

“PPS lain ialah Gereja SIB Kampung Luntuk (79 orang), SMK Pinggan-Pinggan (57 orang) dan Dewan Kampung Salimpodon (13 orang).

“Manakala di Kota Belud, dua PPS beroperasi iaitu SJK (C) Chung Hwa (81 orang) dan SK Pekan (62 orang).

“Manakala Kota Kinabalu dan Sandakan masing-masing mempunyai satu PPS aktif iaitu Dewan Muhibbah Sembulan (54 orang) dan SK Sungai Anib 2 (684 orang),” kata kenyataan itu.

-BTS Media

Leave a Comment