SEORANG pemimpin Amanah membidas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy yang menyelar barisan Kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim hanya mempunyai seorang menteri daripada kaum etnik India.
Dalam kenyataannya pada Isnin (5 Dis), Timbalan Ketua Pemuda Amanah Razak Ridzuan berkata Ramasamy harus berjiwa besar dan mencontohi pimpinan DAP yang sanggup berkorban demi kestabilan politik dan negara.
Beliau berkata Ramasamy tidak sepatutnya membuat kritikan secara terbuka, dan mengatakan bahawa politik semasa tidak pernah berlaku sebelum ini dan memerlukan komponen gabungan dalam kerajaan mengetepikan kepentingan sendiri.
“Ramasamy juga harus belajar daripada pengalaman 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH), yang pimpinannya kerap kali dilihat berbeza pandangan di ruang terbuka, sehingga diambil kesempatan oleh musuh politik,” kata Razak.
Ramasamy, bagaimana pun, tegas mempertahankan pandangannya setelah disasarkan oleh penyokong PH yang mengecam kritikan beliau itu.
-BTS Media