Oleh Fetty Rara
SEORANG ahli majlis tertinggi UMNO meminta Dr P. Ramasamy supaya “melihat cermin” selepas melabelkan presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi sebagai “pemimpin paling tercemar” parti itu.
Mohd Puad Zarkashi berkata, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang itu sendiri adalah “beban” kepada DAP, lapor NST.
“Ramasamy menuduh Zahid membebankan UMNO. Adakah dia lupa bahawa dia sendiri membebankan DAP? Sebab itu DAP Putrajaya menggesa supaya diambil tindakan tatatertib terhadapnya.
“Dia mempersoalkan mengapa hanya ada seorang menteri India di bawah barisan kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekarang.
“Dia (Ramasamy) melabel (pendakwah Islam) Dr Zakir Naik sebagai ‘syaitan’. Dia juga menyokong kumpulan militan Tamil Eelam (LTTE),” katanya dalam catatan Facebook hari ini.
Semalam, Ramasamy berkata Zahid pemimpin paling tercemar dalam UMNO sambil berkata parti politik terbesar itu tidak boleh dihidupkan semula tanpa perlu membersihkan imejnya yang tercemar rasuah.
Beliau juga berkata UMNO kehilangan sokongan majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 kerana beberapa pertuduhan rasuah terhadap Zahid.
Kenyataannya itu dibuat selepas Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang tamat baru-baru ini meluluskan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti kekal tidak dicabar dalam pemilihan parti akan datang.
-BTS Media