BTS Media

Muhyiddin nafi seleweng RM600bil semasa PM, minta PH, UMNO ‘bertindak seperti kerajaan’ dan bukan menuding jari

Oleh Yusoff A. Shariff

BEKAS Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan dakwaan kononnya beliau menyeleweng dana kerajaan berjumlah RM600 bilion.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), tidak pasti dari mana angka tersebut dipetik, namun mengagak ia merujuk kepada lapan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM530 bilion yang dilaksanakan semasa menjadi Perdana Menteri bagi membantu rakyat dan perniagaan terjejas ketika tempoh pandemik.

Ahli Parlimen Pagoh itu menyatakan melalui Facebook bahawa laporan polis telah dibuat terhadapnya mengenai perkara tersebut oleh Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan, dan dakwaan yang sama dibuat oleh Menteri Komunikasi Digital yang baharu dilantik Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Muhyiddin berkata daripada RM530 bilion itu, kebanyakannya bukan fiskal dan tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan dan oleh itu adalah mustahil untuk beliau menyeleweng.

Sebagai perdana menteri ketika itu,beliau berkata, beliau juga tidak mempunyai sebarang kuasa terhadap penggunaan dana berkenaan.

Jelasnya, dalam kenyataan menteri kewangan pada 29 Jun 2021, perbelanjaan membabitkan dana kerajaan dalam bentuk suntikan fiskal bernilai RM83 bilion, termasuk perbelanjaan RM5 bilion untuk pembelian vaksin dan bantuan tunai terus, seperti subsidi upah bernilai RM20. 92 bilion, Bantuan Prihatin Nasional (RM18.2 bilion), Geran Khas Prihatin (RM4.21 bilion), Geran Khas Prihatin Permai (RM842 juta), dan Skim Pembiayaan Mudah Bumiputera (RM500 juta).

“Tidak ada satu sen pun wang ini masuk ke akaun peribadi saya. Tak masuk akal wang bantuan rakyat yang dimasukkan terus ke dalam akaun mereka boleh diseleweng masuk ke akaun saya.

“Kalau hal ini berlaku, sudah tentu akan diketahui melalui penemuan audit yang dibuat oleh Jabatan Audit Negara (JAN) setiap tahun. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah tentu membentangkan laporan mengenainya di Parlimen.

“Tak mungkin JAN atau PAC terlepas pandang. Ini bukan perkara kecil. Ia perkara besar, “ kata beliau.

“Malah Bank Negara Malaysia tentunya telah mendapat notifikasi tentang pergerakan jumlah wang yang besar masuk ke akaun saya dan siasatan telah dimulakan sejak lebih setahun yang lalu. Tetapi tidak ada apa-apa pun,” tambahnya.

Muhyiddin berkata, Kementerian Kewangan (MoF), khususnya Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan Agensi Kebangsaan Mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi (Laksana) akan membuat setiap perincian perbelanjaan bagi kesemua lapan Pakej Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan ketika beliau perdana menteri.

“Saya tidak takut untuk disiasat kerana saya tahu saya tidak seleweng duit rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan untuk diguna bagi tujuan membantu rakyat ketika zaman susah.

Cuma pesan saya kepada ahli-ahli politik PH dan UMNO, janganlah asyik menuding jari kepada orang lain dengan menuduh yang bukan-bukan semata-mata untuk menutup kelemahan kerajaan baharu berusia beberapa hari ini yang kelihatan masih belum ada idea bernas untuk menyelesaikan permasalahan rakyat. Awak dah jadi kerajaan, act like a government.

Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil semalam menggesa kerajaan baharu menyiasat bagaimana kerajaan bekas perdana menteri Muhyiddin kononnya membelanjakan RM600 bilion dalam rangsangan Covid-19 yang diumumkan semasa pemerintahan PN.

Muhyiddin memegang jawatan sejurus bermulanya pandemik Covid-19. Selepas berundur, beliau meneruskan usaha membantu untuk memulihkan keadaan negara sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara yang mengendalikan peralihan negara ke fasa endemik.

-BTS Media

Leave a Comment