Oleh Zainal AS Rashid
DATUK Seri Hishammuddin Hussein menafikan beliau ditawarkan jawatan perdana menteri oleh Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Sembrong dari UMNO itu berkata beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang rundingan, sama ada dengan PN atau Pakatan Harapan.
Beliau berkata berita disiarkan oleh Sinar Harian yang mendakwa beliau ditawarkan jawatan itu adalah tidak benar.
“Ramai yang telah menyebarkan artikel ini. Saya ingin mengesahkan bahawa dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali.
“Jika Sinar Harian tidak menarik balik artikel itu segera, saya akan mengambil tindakan undang-undang,” kata Hishammuddin dalam catatan di Facebook pada pagi Khamis (24 Nov).
Hishamuddin tegas berpendirian tidak bersetuju Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum ke-15 menyaksikan tiada gabungan memperoleh majoriti mudah di Parlimen.
Bagaimanapun, pada Khamis (24 Nov) majlis tertinggi UMNO sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan mematuhi cadangan Agong supaya BN menyokong dan menyertai kerajaan perpaduan.
-BTS Media