BTS Media

Zahid patut pecat dirinya sendiri, kata Annuar

Oleh Zainal AS Rashid

PRESIDEN UMNO Ahmad Zahid Hamidi mesti memecat dirinya sendiri kerana melanggar dua keputusan parti yang dibuat dalam perhimpunan agung UMNO lepas, kata Annuar Musa.

Bekas ahli parlimen kawasan Ketereh itu berkata Zahid harus melihat balik kepada tindakannya sebelum mengeluarkan ugutan kepada ahli parlimen UMNO.

Ini berhubung kenyataan beliau (Zahid) baru-baru ini bahawa oleh sebab ahli parlimen UMNO telah menandatangani akuan berkanun (SD) sebelum PRU15, maka itu ia  membolehkan beliau membentuk pakatan dengan gabungan lain.

Beliau berkata kegagalan mematuhi SD yang ditandatangani akan mengakibatkan ahli Parlimen UMNO dipecat daripada parti dan kehilangan kerusi mereka.

Annuar berkata tindakan Zahid bekerjasama dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim baru-baru ini adalah sama seperti mengingkari UMNO dan keputusannya.

“Pertama, perhimpunan telah memutuskan kita akan usahakan Muafakat Nasional (MN) dan kedua, tiada Anwar dan DAP.

Beliau berkata Zahid bukan sahaja mengetepikan MN, tetapi dia juga mula bekerjasama dengan Anwar. Ini bertentangan dengan keputusan yang dibuat oleh majlis tertinggi UMNO.

“Kita mesti faham bahawa apa sahaja yang diputuskan akan menjadi sebahagian daripada dasar kita dan keputusan ‘no Anwar no DAP’ dibawa daripada biro politik ke majlis tertinggi dan terakhir ke PAU.

“Jadi, jika ada yang patut dipecat, ia bukan ahli Parlimen tetapi presiden itu sendiri, kerana dia tidak mempunyai kuasa untuk mengetepikan keputusan perhimpunan agung,” katanya dalam satu wawancara dengan sebuah portal semalam.

Annuar juga mengingatkan bahawa Zahid sebagai presiden parti tidak mempunyai kuasa penuh untuk memecat ahli, sambil menambah bahawa terdapat proses yang panjang untuk diikuti sebelum dia boleh berbuat demikian.

Annuar yang juga bekas setiausaha agung Barisan Nasional berkata proses pemecatan anggota parti mesti melalui ahli majlis tertinggi.

Beliau berkata tanggapan kononnya presiden boleh melakukan apa sahaja yang dia suka, itulah yang memusnahkan UMNO.

Mengenai SD, Annuar berkata Zahid tidak akan dapat mengambil tindakan terhadap ahli parlimen yang tidak mematuhi arahannya, sambil menambah bahawa dokumen yang ditandatangani adalah bercanggah dengan perlembagaan.

“SD ditandatangani sebelum pemimpin berkenaan menjadi ahli parlimen. Mereka menandatanganinya atas paksaan kerana mereka mahu dicalonkan dan syaratnya ialah menandatangani SD.

“Pada masa sama, kuasa melantik perdana menteri, seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan, berada di tangan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan sokongan majoriti (individu) Ahli Parlimen, bukannya presiden parti.

“Jika kita menandatangani apa-apa yang bertentangan dengan mana-mana artikel dalam Perlembagaan Persekutuan, ia bermakna dokumen itu tidak berperlembagaan.”

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, gesaan supaya Zahid berundur daripada UMNO dan BN semakin lantang selepas dia menghantar isyarat bahawa dia sedang berunding dengan Anwar dan PH.

Sementara beberapa pemimpin BN terus menyokong Zahid, yang lain termasuk perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob dan menteri pertahanan sementara Hishammuddin Hussein tidak setuju dengan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

-BTS Media

Leave a Comment