ORANG ramai akan menikmati perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan sepanjang hari pengundian untuk Pilihan Raya Umum ke-15 pada Sabtu (19 Nov).
Prasarana Malaysia Bhd mengumumkan bahawa perkhidmatan LRT, MRT, Monorel, BRT dan bas akan beroperasi secara percuma untuk semua rakyat Malaysia selama sehari pada 19 Nov sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk membolehkan semua rakyat Malaysia keluar mengundi pada PRU15 esok.
“Ini adalah usaha kami memudahkan rakyat melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka untuk mengundi sebagai warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Jumaat (18 Nov).
Prasarana berkata bahawa pengguna kad Touch ‘n Go dan My50 tidak akan dikenakan sebarang tambang jika mereka menggunakan kad mereka untuk mana-mana perkhidmatan pengangkutannya.
Bagi pengguna token, mereka perlu mendapatkan token perjalanan sehala khas percuma daripada mana-mana pejabat perkhidmatan pelanggan di semua stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT.
Pengguna Bas Rapid di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan (termasuk perkhidmatan bas MRT perantara) tidak perlu mengimbas kad mereka atau membayar sebarang bayaran apabila menaiki atau keluar dari bas esok.
Kesesakan trafik dijangka berlaku esok berikutan yang ramai akan keluar mengundi, dan juga kerana hujung minggu dan cuti umum di seluruh negara.
-BTS Media