BTS Media

Perkhidmatan percuma sebulan mula hari ini untuk semua pengangkutan awam RapidKL, termasuk MRT LRT, Monorel

GAMBAR ATAS: Aziz A. Shariff/ BTS Media.

 

Oleh Zainal AS Rashid

Selama sebulan bermula Khamis (16 Jun), orang ramai akan dapat menikmati perjalanan percuma merentasi semua perkhidmatan pengangkutan awam di bawah RapidKL di Lembah Klang.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perjalanan percuma, termasuk MRT, LRT, BRT, Monorel dan bas RapidKL  ialah sempena pelancaran fasa pertama MRT Putrajaya, yang mula beroperasi pada pukul 3.00 petang Khamis (16 Jun).

Fasa pertama laluan Putrajaya yang mula beroperasi hari ini meliputi 12 stesen, iaitu Kwasa Damansara, Kampung Selamat, Sungai Buloh, Damansara Damai, Sri Damansara Barat, Sri Damansara Sentral, Sri Damansara Timur, Metro Prima, Kepong Baru, Jinjang, Sri Delima, dan Kampung Batu.

Pada waktu puncak, tren akan tiba setiap empat minit, dengan setiap perjalanan mampu membawa 1,200 penumpang.

Fasa pertama laluan MRT Putrajaya membolehkan penumpang bertukar ke stesen KTM di Sungai Buloh, Sri Damansara Timur (ke Kepong Sentral) dan Kampung Batu. Fasa pertama MRT Putrajaya adalah sejauh 17.5km dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu.

Laluan MRT Putrajaya menawarkan perkhidmatan merentasi beberapa tempat di sepanjang laluan, seperti Jinjang, Sungai Buloh, Kepong dan Bandar Sri Damansara.

Menjelang Januari tahun depan, apabila Fasa Dua MRT Putrajaya siap, perkhidmatan tren  akan melalui keseluruhan laluan dari Kwasa Damansara hingga ke Putrajaya, iaitu stesen akhir.

-BTS Media

Leave a Comment