BTS Media

Trafik sesak 17 kilometer menghala ke Plaza Tol Gombak

KUALA LUMPUR – Trafik mengalami kesesakan sebelum dan selepas Plaza Tol Gombak sejauh lebih 17.4 kilometer berikutan warga kota mula pulang ke kampung halaman untuk mengundi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kesesakan bermula dari jejambat Batu Caves (MRR2) sehingga ke susur Plaza Tol Gombak.

Kesesakan berlaku disebabkan pertambahan mendadak kenderaan menuju ke pantai timur melalui Lebuhraya Karak berikutan cuti umum hari ini.

Sementara itu Facebook Lebuhraya Pantai Timur (LPT) memaklumkan trafik sesak sejauh 17.4 kilometer bercantum dengan Plaza Tol Gombak bermula jam 11 pagi tadi.

“Kesesakan sejauh 5.7 kilometer turut berlaku dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi dan tiga kilometer dari Kilometer 51.8-44.8 (Lentang).

“Trafik turut dilaporkan perlahan sejauh 1.7 kilometer di LPT 1 Karak arah ke Kuantan berikutan pertambahan kenderaan,” katanya pada Jumaat.

Sementara itu, Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad hari ini mengeluarkan cadangan waktu perjalanan untuk pengguna lebuh raya laluan pantai timur, bagi tempoh 18 dan 20 November.

Anih Berhad dalam kenyataan memaklumkan, terdapat dua pilihan waktu perjalanan bagi pengguna lebuh raya dari Lembah Klang memasuki Plaza Tol Gombak, hari ini iaitu pilihan pertama, ke Pahang (dari 10 pagi hingga 2 petang), Terengganu dan Kelantan (6 pagi-10 pagi) manakala 12 tengah malam hingga 6 pagi bagi semua destinasi.

Bagi pilihan kedua, Anih Berhad mencadangkan waktu perjalanan ke Pahang dari 8 malam hingga 11 malam manakala laluan ke Terengganu dan Kelantan dari 5 petang hingga 8 malam.

Bagi perjalanan menghala ke Lembah Klang pada 20 November, pengendali lebuh raya berkenaan mencadangkan jadual perjalanan dari Pahang (6 pagi-10 pagi), Terengganu (8 pagi-11 pagi), Kelantan (6 petang-8 malam) dan 12 tengah malam hingga 6 pagi bagi semua destinasi.

Baca lagi: https://www.sinarharian.com.my/article/231956/berita/nasional/trafik-sesak-17-kilometer-menghala-ke-plaza-tol-gombak

Leave a Comment