GAMBAR ATAS: Aziz A. Shariff/BTS Media.
Oleh Yusoff A. Shariff
Kesesakan trafik yang teruk yang dilaporkan semalam adalah disebabkan orang ramai pulang ke kampung halaman mereka untuk meraikan hari Raya Aidilfitri setelah dua tahun terperap di rumah kerana sekatan perjalanan.
Seperti diingatkan oleh pihak berkuasa lebuh raya sebelum ini, kesesakan yang menyaksikan trafik bergerak perlahan atau langsung terhenti di sesetengah lokasi lebuh raya utama di seluruh negara memang telah dijangka.
Pemandu yang marah apabila terperangkap dalam kesesakan menggunakan media sosial untuk meluahkan perasaan.
Catatan Twitter seorang pemandu lewat semalam berkata ‘jem ini amat mengerikan’ Dia melampiaskan rasa kecewanya dengan menuding kepada kelemahan sistem pengangkutan awam.
Ada yang disebabkan cerita-cerita ‘ngeri’ yang dimuat naik melalui media sosial memutuskan untuk menangguhkan perjalanan buat seketika dengan harapan sehingga keadaan trafik menjadi reda, walaupun ada yang berpandangan bahawa strategi sebegitu tidak akan ke mana kerana mungkin pemandu lain pun berfikiran sama.
Ada yang bertolak dari Kuala Lumpur pada tengah malam, tetapi hanya tiba di Kota Baharu, Kelantan lewat pagi Sabtu.
Pada Jumaat dikatakan ada sesetengah pemandu yang bertolak dari Kuala Lumpur pada tengah malam, tetapi hanya tiba di Kota Baharu, Kelantan lewat pagi Sabtu.
Bagaimanapun, lebih ramai pemandu yang berlapang hati dan reda dengan keadaan itu semua. Setelah dua tahun merindu kampung halaman kerana tidak dapat pulang beraya disebabkan sekatan pandemik Covid-19, mereka berkata tidak perlu merungut apabila berdepan dengan kesulitan sebegitu.
Setakat semalam trafik dilaporkan amat sesak di sepanjang 8km dari Bukit Tambun ke Jawi, Seberang Perai, 35km dari Tapah ke Gopeng, 12kn dari Terowong Menora ke Sungai Perak, 8km dari Kuala Kangsar ke Changkat Jering, dan 6km dari Slim River ke Sungkai.
Sementara itu, di arah Selatan trafik juga dilaporkan bergerak perlahan sejauh 9km dari Senawang ke Pedas Linggi; dan 2km dari Kulai ke Senai. Sama juga Pedas Linggi ke Simpang Ampat.
Di lebuh raya Pantai Timur, pemandu diingatkan supaya menjangkakan kesesakan sepanjang 11km dari Chalok ke Permaisuri.
Kesesakan sepanjang lebih 17km dilaporkan berlaku di Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak.
Di Lebuh raya Duta-Ulu Kelang, Kuala Lumpur, trafik sesak selepas Sentul Pasar, menghala ke Taman Greenwood dan Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak, di Jalan Lingkaran Tengah 2 menghala ke plaza tol Gombak dan Genting Sempah; dan Bukit Tinggi ke Lentang.
Maklumat trafik boleh didapati daripada PLUS melalui telefon di 1800-88-0000 dan Twitter, atau Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di 1800-887752 atau Twitter.
-BTS Media