CUACA hujan dan pertambahan jumlah kenderaan menyumbang kepada kesesakan trafik yang kini berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) arah ke timur, hari ini.
Warga kota dilihat terus mengambil peluang cuti panjang sehingga Selasa ini sempena perayaan Tahun Baharu Cina dengan berpusu-pusu untuk pulang ke kampung halaman masing-masing sejak semalam sehingga ke hari ini.
Kesesakan lebih awal berlaku di laluan masuk ke Plaza Tol Gombak dengan pertambahan jumlah kenderaan yang keluar dari Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menuju ke plaza tol berkenaan.
Pengurus Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata cuaca hujan sejak pagi tadi turut menyumbang kepada kesesakan hampir tujuh kilometer dari KM20.8 MRR2 ke Plaza Tol Gombak.
“Setakat pukul 2 petang, di Lebuhraya KLK, terdapat kesesakan sejauh 15 kilometer dari KM29.6 hingga KM44.5 ke Bukit Tinggi manakala kesesakan hampir dua kilometer di KM45.7 hingga KM47.5 di Lentang.
“Pertambahan jumlah kenderaan di lebuh raya berkenaan juga menyebabkan kesesakan sejauh 7.4 kilometer dari KM53.1 ke KM60.5 menghala ke Bentong” katanya, hari ini.
Sementara itu, Radzimah berkata, trafik di laluan sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) masih lancar di kedua-dua arah.
“Bagaimanapun, jumlah kenderaan yang masuk ke arah Plaza Tol Gambang semakin meningkat menyebabkan kita terpaksa membuka dua lorong manual untuk pembayaran tol,” katanya.
Dalam pada itu, Radzimah berkata, sejak jam 12 tengah malam tadi sehingga pukul 12.00 tengah hari, sebanyak 65,697 kenderaan direkodkan menggunakan KLK dengan anggaran 5,475 kenderaan per jam.
Daripada jumlah itu, sebanyak 52,367 kenderaan bergerak ke arah Pantai Timur manakala 13,330 kenderaan membuat perjalanan ke arah barat atau ibu negara.