Oleh Yusoff A. Shariff
JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah mengeluarkan satu notis kepada syarikat Invoke Solutions Sdn Bhd bagi memaklumkan tentang pemeriksaan dokumen berkaitan cukai.
Dalam satu kenyataan jabatan itu berkata, pemeriksaan tersebut adalah berhubung cukai perkhidmatan sejajar dengan pendaftaran syarikat itu di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018.
“Pemeriksaan dokumen yang akan dibuat adalah prosedur rutin bagi tujuan verfikasi audit serta khidmat nasihat ke atas Pengisytiharan Penyata SST-02 yang telah dibuat oleh pihak syarikat.
“Tiada sebarang serbuan yang dibuat oleh pihak kastam ke atas syarikat Invoke Solution sehingga ke hari ini,” katanya pada Khamis.
Sebuah portal berita pada Rabu, melaporkan bahawa pihak kastam akan menyerbu pejabat Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli itu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan memasuki premis syarikat itu dan mengambil sejumlah dokumen.
Susulan kehadiran SPRM ke pejabatnya itu, Rafizi mendakwa serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di premis syarikatnya adalah bermotifkan politik.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mendakwa kehadiran pihaknya di pejabat syarikat tersebut bagi mengambil dokumen berkaitan siasatan ke atas syarikat itu pada Selasa dan hanyalah prosedur biasa.
-BTS Media