Oleh Zainal AS Rashid
GELOMBANG penerimaan rakyat menyokong dan memilih Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sentul semakin terasa menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini.
Calon PN bagi DUN Kuala Sentul, Datuk Jasri Jamaludin berkata ia ketara dalam siri kempen jelajah kawasan sehingga kini.
“Sambutan rakyat kepada PN di Kuala Sentul cukup baik, bagi saya ia memberangsangkan dan boleh dikatakan di luar jangkaan.
“Ramai pengundi yang kita jumpa menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi, jika perkara ini berterusan sehingga hari pengundian, 19 November ini, insya-Allah kita boleh menang,” katanya di Sungai Jerik, MARAN semalam.
Menurut Jasri, dalam tempoh 10 hari kempen setakat ini, beliau telah menjelajah ke seluruh Pusat Daerah Mengundi (PDM) di DUN Kuala Sentul, untuk menghadiri ceramah ziarah rumah ke rumah dan kejohanan sepakan penalti untuk anak muda di kawasan itu.
“Sepanjang tempoh kempen ini, beberapa isu telah dikenal pasti, antaranya padang di Felda Jengka 3 yang terabai dan seperti langsung tidak dijaga.
“Terdapat juga isu perumahan generasi kedua Felda yang terbengkalai di Felda Jengka 1. Projek ini difahamkan dijanjikan pada PRU13 lalu namun masih belum siap.
Beliau berkata antara masalah penduduk, khususnya generasi kedua Felda adalah isu perumahan.
“Insya-Allah saya akan fokus kepada isu ini apabila dipilih mewakili rakyat di Kuala Sentul selepas PRU15 nanti,” katanya.
Kini, pada minggu akhir kempen, Jasri berkata, beliau akan meneruskan siri jelajah ke PDM dan ziarah dari rumah ke rumah.
“Yang penting pada minggu akhir ini ialah mendekati seramai mungkin pengundi di kawasan tumpuan.
“Sasaran saya ialah untuk bertemu dan bersua muka dengan lebih 80 peratus pengundi dalam kawasan DUN Kuala Sentul ini,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa, 19 November ini adalah penentuan bagi pengundi memilih masa depan untuk diri, anak cucu dan generasi muda akan datang.
Menurutnya, pengundi diharap memilih dengan bijak apabila mengundi pada PRU15 bagi mengangkat sebuah kerajaan yang bersih dan mementingkan rakyat.
-BTS Media