KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) akan segera mencari calon baharu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman bagi menggantikan calonnya, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia pada pagi Sabtu.
Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, berita kematian ini sudah memaklumkan kepada pucuk pimpinan tertinggi PN di pusat.
“PN akan meletakkan calon lain sebagai ganti. Oleh kerana kerusi terbabit adalah milik Pas, maka Pas akan memilih calon daripada parti mereka.
“Pemilihan itu akan dibuat secepat mungkin, namun bukan hari ini kerana semua pihak masing-masing sibuk dengan proses pengundian,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan Sungai Talam di sini pada Sabtu.
Saifuddin sebelum itu mengundi di sekolah terbabit pada pukul 9.25 pagi.
Pada pagi Sabtu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin, Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek menangguh proses pengundian bagi kerusi DUN Tioman selepas Md Yunus meninggal dunia.
Penangguhan ini hanya melibatkan kerusi DUN berkenaan manakala pemilihan bagi kawasan Parlimen Rompin akan dilakukan seperti biasa.
– Sinar Harian