BTS Media

PRU15: Pengerusi PN Pahang isytihar harta menjelang Hari Penamaan calon

Oleh Yusoff A. Shariff

PENGERUSI Perikatan Nasional Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah telah mengisytiharkan hartanya menjelang hari penamaan calon dalam usaha menunjukkan keikhlasannya kepada pengundi.

Beliau berkata pengisytiharan itu adalah versi terkini daripada yang dilakukannya sebagai menteri Kabinet.

“Ini untuk membuktikan keikhlasan saya bahawa kita mahu menubuhkan kerajaan yang bersih dan telus serta berintegriti.

“Dengan pengisytiharan ini, saya berharap pengundi dapat menilai keikhlasan saya sebagai calon,” kata Saifuddin di Kuantan pada Jumaat (4 Nov).

Penyandang Ahli Parlimen Indera Mahkota itu mengisytiharkan aset bersih bernilai RM1,168,365 selepas menolak hutang RM1,711,635 daripada jumlah asetnya bernilai RM2,880,000.

Antara aset yang diisytiharkan ialah dua rumah dengan nilai bersih RM850,500 selepas ditolak hutang.

Saifuddin mempunyai RM60,000 dalam simpanan bank dan dana Amanah Saham Bumiputera bernilai RM200,000 dengan hutang RM41,000, justeru menjadikan jumlah keseluruhan RM219,000.

Beliau juga memiliki sebuah kereta Honda Accord bernilai RM70,000, yang mempunyai baki pinjaman bank RM12,835 untuk dibayar, serta Toyota Alphard bernilai RM300,000 yang mempunyai baki pinjaman bank RM258,300.

Ini menjadikan nilai aset kenderaannya sebanyak RM98,865.

Gaji terakhir Saifuddin ialah RM13,416.48, manakala jumlah imbuhan terakhir dan elaun tetapnya ialah RM23,088.

Beliau tidak mempunyai sebarang pendapatan daripada penyewaan hartanah, manakala gaji terakhirnya sebagai ahli Parlimen ialah RM16,000.

Pendapatannya ialah sebanyak RM52,504.48.

“Saya tidak ada apa-apa untuk disembunyikan. Tidak banyak sangat. Isteri saya seorang suri rumah dan dia tidak mempunyai pendapatan dan gaji saya dinyatakan adalah gaji terakhir saya sebagai menteri dan ahli parlimen,” kata Saifuddin kepada media.

-BTS Media

Leave a Comment