PERIKATAN Nasional (PN) menyifatkan pengisytiharan harta yang dilakukan oleh calon-calon lawan sebagai sandiwara.
Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, memang menjadi amalan anggota kabinet yang dilantik perlu mengisytiharkan harta masing-masing kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut beliau, amalan tersebut pastinya akan diteruskan jika PN memerintah negara bagi memastikan pimpinan dalam kerajaan tidak terjebak dalam amalan rasuah.
“Kita tak perlu ikut orang lain. Mereka boleh buat pengisytiharan aset tetapi mereka yang terlibat dalam rasuah pun masih menjadi calon. Ini semua sandiwara.
“Jika kamu komited nak lawan rasuah dalam sistem, mestilah kena tunjuk teladan yang baik. Calon kamu sepatutnya tak dibenarkan hantar borang pencalonan pada hari penamaan calon,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Prihatin Parlimen Tambun di Klebang Jaya di sini pada Khamis.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini mengumumkan semua calon mereka akan mengisytiharkan harta masing-masing menerusi laman web.