BTS Media

Rafizi Ramli isytihar harta lebih 18 juta

Oleh Zainal AS Rashid

TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Pengisytiharan harta itu dibuat menerusi akuan berkanun (SD) yang dimuat naik melalui laman blog peribadinya pada Rabu.

Beliau berkata, pengisytiharan itu adalah sebagai mematuhi sebahagian daripada syarat yang ditetapkan ke atas semua calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut butiran pengisytiharan, kebanyakan aset beliau diperoleh daripada pelaburan saham dalam syarikat yang diasaskannya, Invoke Solutions Sdn Bhd.

Ia termasuk pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan polisi insurans di Prudential.

Jumlah keseluruhan pelaburannya ialah sebanyak RM16.74 juta.

Selain itu, Rafizi juga mengisytiharkan pendapatan bulanan sebanyak RM23,500 yang digunakan untuk ansuran rumah, kereta, bil utiliti, persekolahan anak, makan minum dan wang untuk isteri dan ibu bapa.

Aset lain diisytiharkan termasuk wang tunai dan simpanan berjumlah RM1.17 juta, dua hartanah di Bukit Antarabangsa, Selangor berjumlah RM1.6 juta, kereta jenis Peugeot 3008 dan Honda Accord berjumlah RM110,00.

Beliau juga mengisytiharkan bahawa beliau tidak pernah memegang jawatan awam lain selain menjadi ahli Parlimen penggal 2013 hingga 2018.

“Sepanjang masa saya berkhidmat sebagai ahli Parlimen (penggal 2013 – 2018), saya tidak pernah menyalahgunakan kuasa saya untuk memperkayakan diri saya, isteri saya, anak saya atau mana-mana ahli keluarga saya,” katanya.

Akuan bersumpah beliau boleh disemak dan dimuat turun di https://rafiziramli.com/…/akuan-bersumpah…/

-BTS Media

Leave a Comment