KERAJAAN Malaysia gagal untuk melucuthak 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita ketika serbuan di sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd di Pavilion Residences, empat tahun lalu.
Sebahagian barangan tersebut didakwa milik Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas menolak permohonan pihak pendakwaan melucut hak harta tersebut.
Ketika membaca keputusan penghakiman ringkasnya, Muhammad Jamil berkata, gagal membuktikan harta yang disita mempunyai kaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang.
Pada 25 Julai 2020, Najib dan Rosmah memeriksa 306 beg tangan, 401 jam tangan, 16 aksesori jam tangan dan 234 cermin mata yang turut disita dari premis sama.
Ia susulan pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings Sdn Bhd bagi menyita pelbagai barang termasuk 11,991 barang kemas, 401 jam tangan, 16 jam tangan aksesori, 234 pasang cermin mata, 306 beg tangan, serta wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.
Najib dan isterinya Rosmah adalah pihak ketiga yang ingin menuntut barang kemas serta jam tangan dalam permohonan pelucuthakan pendakwaan terhadap Obyu Holdings, yang dimiliki ahli perniagaan Bustari Yusof.
Barangan yang disita oleh polis dari premis milik Obyu Holdings di Pavilion Residences pada 17 Mei 2018 telah dikaitkan dengan skandal kewangan 1MDB.
Pada 26 September lalu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu sebanyak 2,435 barang kemas, tujuh jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita ketika serbuan di sebuah premis milik Obyu Holdings di Pavilion.