BTS Media

Laluan LRT Kelana Jaya kembali beroperasi mulai 6 pagi 14 Nov

Oleh Zainal AS Rashid

Perkhidmatan tren laluan LRT Kelana Jaya akan aktif semula dan akan berhenti di semua 37 stesennya mulai pukul 6.00 pagi Isnin (14 Nov) selepas penutupan selama lima hari membabitkan 16 stesen dari Kelana Jaya ke Ampang Park bermula minggu lepas.

Dalam satu kenyataan di Facebook petang Ahad (13 Nov), Rapid KL berkata ujian menyeluruh sistem tren dan rel berkenaan telah dilakukan

Ujian semalaman itu diselia oleh Bahagian Penguatkuasaan Rel, Bahagian Perancangan Rel, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), yang mendapati sistem keselamatan kritikal berfungsi tanpa sebarang ketidakstabilan

Rapid Rail bersama pasukan teknikal dari Thales Group, pengeluar peralatan asal untuk sistem isyarat, akan terus memantau sistem tersebut.

Prasarana Malaysia Bhd, syarikat induk pengendali operasi Rapid Rail dan Rapid Bus, juga telah diminta bersiap sedia untuk menempatkan bas penghubung sekiranya gangguan berlaku lagi.

Mengenai isu pampasan kepada pengguna yang terjejas, difahamkan Prasarana akan menambah tujuh hari pada pas perjalanan pengguna MyRapid yang terjejas.

Di media sosial, ramai pengguna menyatakan rasa lega kerana dapat menggunakan semula perkhidmatan tersebut.

-BTS Media

Leave a Comment