BTS Media

Gangguan LRT Kelana Jaya: Prasarana guna berpuluh bas angkut penumpang terkandas

GAMBAR ATAS: BTS Media.

 

Oleh Zainal AS Rashid

PERKHIDMATAN bas penghubung percuma digunakan di stesen LRT utama di sepanjang laluan Kelana Jaya untuk membantu memudahkan perjalanan bagi mereka yang terjejas akibat penutupan selama seminggu di kawasan kritikal dari 9 hingga 15 Nov.

Bas-bas ini akan ditempatkan di Ara Damansara (perkhidmatan tanpa henti ke Pasar Seni), Pasar Seni (tanpa henti ke Ara Damansara, serta sebuah lagi ke Masjid Jamek), Kelana Jaya (berhenti di setiap stesen sehingga Pasar Seni), dan Masjid Jamek (berhenti di setiap stesen dalam perjalanan ke Dato Keramat) kerana perkhidmatan di 16 stesen, dari Ampang Park ke Lembah Subang dihentikan bagi mencari punca ketidakstabilan isyarat yang berlaku sejak Sabtu lalu (5 Nov) .

Dalam sidang media di ibu pejabat Rapid Rail Sdn Bhd di Petaling Jaya pada Rabu (9 Nov), Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Mohd Azharuddin Mat Sah berkata perkhidmatan bas penyambung akan ditambah apabila diperlukan.

Sementara itu, perkhidmatan laluan Kelana Jaya masih beroperasi antara Putra Heights dan Lembah Subang, serta dari Damai ke Gombak. Bagaimana pun, perkhidmatan ini akan tamat pada pukul 11.00 malam setiap hari semasa tempoh penutupan.

Mohd Azharuddin berkata pihaknya sedang cuba mencari punca masalah berkenaan, dan bekerja keras untuk menyelesaikannya. Beliau memohon maaf di atas kesulitan.

Butiran mengenai perkhidmatan bas penghubung dan pilihan alternatif boleh didapati di myrapid.com.my atau saluran media sosial syarikat pengendali itu.

-BTS Media

Leave a Comment