BTS Media

Kelewatan di laluan LRT Kelana Jaya jejas perjalanan pengguna

GAMBAR ATAS: Maksym Kozlenko, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons.

 

Oleh Zainal AS Rashid

Kerosakan di laluan LRT Kelana Jaya pagi Selasa (24 Mei) menyebabkan ramai penumpang mengalami kelewatan pada waktu puncak.

Melalui media sosial, RapidKL berkata laluan tersebut mengalami kelewatan setakat 8.46 pagi.

Pada pukul 9.13 pagi, syarikat itu menjelaskan bahawa perkhidmatan diteruskan secara terkawal pada kelajuan biasa dengan kekerapan servis kembali normal.

RapidKL memohon maaf atas kesulitan yang berlaku setelah ramai penumpang meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial.

Antara rungutan, termasuk tentang tren yang penuh dengan penumpang terhenti di tengah landasan, dan pendingin udara pula tidak berfungsi .

Dalam pada itu, penumpang juga mengadu tentang sistem siar raya yang tidak jelas dan sering kali terputus-utus.

Bulan ini sahaja laluan LRT Kelana Jaya mengalami dua kerosakan pada waktu puncak.

Pada 10 Mei, kerosakan pada sistem brek di stesen LRT Taman Jaya menyebabkan gangguan perjalanan di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya.

Pada 20 Mei, sebuah koc mengalami kerosakan di stesen LRT KL Sentral pada waktu puncak, hingga menjejaskan perjalanan kira-kira 22,100 pengguna.

-BTS Media

Leave a Comment