BTS Media

Amaran SPRM: Jangan buat laporan hanya untuk ‘kenakan’ calon PRU15

Oleh Zainal AS Rashid

JANGAN jadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) alat politik.

Ini amaran kepada mana-mana pihak yang sengaja menggunakan suruhanjaya itu bagi ‘mengenakan’ dan memburukkan calon di mata masyarakat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Hishamuddin Hashim, agensi itu telah menerima beberapa maklumat sejak 16 bilik gerakan SPRM dilancarkan di seluruh negara, pada 5 Nov.

Kesemua maklumat membabitkan dua aduan di Lembah Klang, satu di Johor dan satu di Pahang.

Bagaimana pun, beliau berkata, hanya empat maklumat, satu daripadanya laporan terhadap seorang calon yang didapati mempunyai asas untuk diambil tindakan lanjut.

Beliau menjelaskan bahawa bilik gerakan SPRM membolehkan orang ramai menyampaikan maklumat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh PRU15, lapor Utusan Malaysia.

“Kita bukan sahaja menerima maklumat bagi tempoh PRU15 ini, tetapi selepas itu juga SPRM bersedia menerima apa sahaja maklumat mengenai rasuah, penyelewengan dan salah laku yang berada di bawah bidang kuasa kita,” katanya.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata setiap maklumat yang disampaikan sama ada secara bersemuka, atau pun dalam talian dikaji terlebih dahulu sebelum tindakan diambil. Ia bagi memastikan kesahihan dakwaan.

“Kita tidak mahu melakukan siasatan secara semberono kerana maklumat yang diberikan hanya untuk mengenakan individu tertentu,” katanya.

Beliau berkata, ada juga pihak menghubungi SPRM untuk bertanya tentang isu rasuah pada PRU15.

“Kita bukan sahaja menerima aduan menerusi e-mel dan telefon, tetapi juga memantau laporan di media sosial, dan sekiranya didapati berasas pegawai terlibat akan mencadangkan siasatan dilakukan.

“Selain itu, SPRM juga ada pegawai yang membuat pemantauan di lapangan dengan mengikuti kempen-kempen parti politik. Jika ada isu salah guna kuasa dibangkitkan kita akan teliti sumber-sumber maklumat diperoleh,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment