“INI jihad saya mewakili rakyat Malaysia,” kata calon Pakatan harapan (PH) Shamsul Iskandar Md Akin di Bagan Datuk.
“Saya cukup bersemangat sebab saya tahu pengundi sudah bosan dengan penyandang Bagan Datuk,” katanya lagi.
Shamsul yang juga bekas ahli parlimen Hang Tuah Jaya, Melaka selama dua penggal berkata beliau teruja untuk mencabar presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, yang telah memegang kerusi itu selama enam penggal.
Ahmad Zahid berdepan pertandingan empat penjuru di kerusi parlimen Bagan Datuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.
Bertanding buat kali ketujuh di Bagan Datoh, Zahid yang mewakili BN ditentang oleh Shamsul Iskandar, calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Faiz Na’aman dan calon bebas Tawfik Ismail yang merupakan anak kepada bekas timbalan perdana menteri kedua, Tun Dr Ismail Abdul Rahman.
Pengumuman calon dilakukan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen P075 Bagan Mohd Ghaoufron Hamzah pada pukul 11.00 pagi di Dewan Gemilang, Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk, sebentar tadi.
Zahid bertanding di kerusi Bagan Datuk sejak 1995, dan pada PRU14 dia mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 5,073 undi.
Sementara itu, Muhammad Faiz Na’aman berharap penduduk Bagan Datuk akan menyokong PN untuk membuat perubahan dengan lebih baik dan integriti.
Seperti pencabar Ahmad Zahid yang lain, Tawfik, 71, berkongsi matlamat sama, iaitu untuk menyekat Zahid daripada menjadi perdana menteri.
“Saya tanding di sini kerana Zahid sedang menghadapi banyak kes rasuah dan dia cuba menjadi perdana menteri.
“Saya tidak akan membenarkan dia menjadi perdana menteri,” katanya.
Tawfik yang bertanding menggunakan logo kunci berkata semoga ia menjadi lambang kunci kejayaan untuk negara yang lebih baik.
Terdahulu, lebih 600 penyokong daripada BN, PH dan PH berkumpul di pusat penamaan calon sejak pukul 9.00 pagi.
-BTS Media