BTS Media

“Tunjuk bukti saya mahu UMNO dibubarkan,” Dr Mahathir cabar Ahmad Zahid

 

Oleh Fetty Rara

Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan beliau memberitahu Ahmad Zahid Hamidi supaya membubarkan UMNO pada 2018 kerana parti itu “tiada masa depan”.

Beliau juga berkata sebelum membuat dakwaan sedemikian, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sepatutnya menyokong kenyataannya dengan bukti.

“Apakah bukti yang dia ada (bahawa saya mengeluarkan) kenyataan itu? Saya boleh bercakap tentang apa sahaja.

“Tunjukkan bukti bahawa saya berkata sedemikian,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas bertemu pengusaha feri pada Rabu (29 Jun) malam di Langkawi , Kedah.

Pada Selasa (28 Jun), Ahmad Zahid memberi keterangan di mahkamah bahawa Dr Mahathir memintanya supaya membubarkan UMNO pada 2018.

Ahmad Zahid, 69, mendakwa Dr Mahathir mahu beliau membawa semua ahli UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut beliau, pada pertemuan itu, Dr Mahathir berkata UMNO tidak mempunyai masa depan, UMNO sudah mati, UMNO telah ditolak oleh orang Melayu dan Barisan Nasional telah terkubur kerana hanya tinggal empat parti komponen daripada 13.

“Beliau (Dr Mahathir) meminta saya berpaling tadah, tinggalkan UMNO dan sertai Bersatu. …UMNO tidak boleh dipercayai,” Ahmad Zahid dipetik berkata semasa perbicaraan rasuahnya membabitkan yayasan Akalbudi.

-BTS Media

Leave a Comment