BTS Media

Mahkamah tetapkan 11 hingga 14 Sept untuk dengar saman fitnah Dr Mahathir terhadap Zahid

MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 11 September depan untuk perbicaraan kes saman yang difailkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Ahmad Zahid Hamidi atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah berhubung isu ‘kutty’.

Hakim, Datuk Rozana Ali Yusoff menetapkan empat hari sehingga 14 September untuk prosiding itu selain menetapkan tarikh akhir bagi pengurusan kes pada 14 Julai depan.

Dihubungi media selepas pengurusan kes melalui sidang video, peguam, peguam Dr Mahathir Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, pihaknya akan memanggil dua saksi, iaitu bekas Ahli Parlimen Langkawi itu dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz pada perbicaraan kes itu.

Prosiding ini turut disertai peguam, Mohd Shahril Madisa, yang mewakili Ahmad Zahid.

Tun Dr Mahathir, 97, memfailkan saman menamakan Ahmad Zahid, 70, sebagai defendan tunggal pada 20 Julai tahun lalu.

Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Bersatu dalam pernyataan tuntutannya mendakwa, Ahmad Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan oleh beberapa portal berita, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

Dakwanya, kenyataan fitnah itu, antara lain membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.

Ahmad Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos tahun sama, menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan nama baik Dr Mahathir dalam khalayak umum.

Dakwa Presiden UMNO itu, nama tersebut merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat dalam salinan kad pengenalan yang lama selain mendakwa beliau juga tidak mempunyai kawalan ke atas sebarang penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media.

-BTS Media

Leave a Comment