BEKAS isteri Menteri Besar Perlis Azlan Man memfailkan tuntutan mutaah berjumlah RM15 juta dan RM344,250 nafkah tertunggak di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Tuntutan RM15 juta itu difailkan Sova Ali, 40, yang mendakwa penceraian mereka berlaku tanpa sebab yang munasabah dan Azlan juga tidak mendapatkan kebenaran mahkamah untuk bercerai.
Sova berkata, bekas suaminya juga akan didakwa di Mahkamah Syariah Hulu Langat kerana menceraikannya tanpa izin mahkamah.
Beliau juga mendakwa mengalami penderitaan sepanjang perkahwinannya dengan Azlan sebelum diceraikan.
Selain tuntutan mutaah itu, Sova turut menuntut nafkah tertunggak sebanyak RM344,250 atas alasan beliau tidak pernah diberikan nafkah bagi “tempoh tertentu” sepanjang perkahwinan mereka.
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menetapkan 15 Dis ini untuk majlis sulh bagi tuntutan mutaah dan nafkah tertunggak.
Katanya, mahkamah sama turut membenarkan pihaknya bagi penyampaian saman dan penyata tuntutan di luar Selangor iaitu di Perlis.
Sova juga merancang membuat tuntutan mengenai harta sepencarian yang terletak di Selangor, Perlis dan luar negara serta nafkah iddah yang akan ditentukan jumlahnya, akan difailkan dalam masa terdekat.
Sova, warga Indonesia berkahwin dengan Azlan, 63, pada 21 Mac 2010 dan bercerai 12 tahun kemudian pada 25 Ogos lalu. Pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata.
Beliau diwakili peguam Zainul Rijal Abu Bakar dan Shafiq Ibrahim.