Oleh Yusoff A. Shariff
MEMBAYANGKAN bahawa beliau telah digugurkan daripada senarai calon UMNO, penyandang Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa mengesahkan beliau masih belum menerima jemputan untuk majlis pengumuman calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) malam ini (Selasa 1 Nov).
Pada sidang media tergempar di Kota Baru pagi ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia sementara itu akur bahawa beliau berkemungkinan besar akan diketepikan kerana bersuara menentang kepimpinan tertinggi UMNO, tetapi beliau “tidak akan berdiam diri selama-lamanya”.
Annuar juga tidak membayangkan sama ada akan bertanding atas tiket PAS kerana dia berkata,”Tidak boleh bercakap tentang berkahwin dengan orang lain sedangkan masih isteri orang”, justeru membayangkan dia masih bersama UMNO buat masa ini.
“Timbalan ketua bahagian saya Datuk Seri Md Alwi (Che Ahmad) sudah maklumkan beliau ada menerima jemputan untuk hadir ke majlis itu, tetapi saya belum terima. Saya pula berada di Kelantan.
Annuar antara yang tersenarai sebagai salah seorang daripada empat menteri UMNO yang berkemungkinan besar akan digugurkan pada PRU15.
-BTS Media