BTS Media

Annuar Musa kata tidak akan tubuh parti baharu, sebaliknya pilih tiga sedia ada

TAN Sri Annuar Musa berkata beliau tidak akan menubuhkan parti baharu sebaliknya akan menyertai salah satu daripada tiga parti yang telah mendekatinya.

Bekas Ahli Parlimen Ketereh itu antara tiga pemimpin bahagian yang dipecat UMNO baru-baru ini.

Annuar yang juga Presiden Muafakat Nasional (MN) berkata beliau tidak akan menubuhkan parti baharu kerana tindakan itu akan hanya mewujudkan perpecahan lebih besar dalam kalangan rakyat, khususnya orang Melayu.

Menurutnya, pilihan beliau ialah parti yang menyatukan umat Islam, jujur dan tidak menyalahgunakan kuasa.

“Tidak dinafikan kemungkinan saya akan menyertai salah satu parti politik yang memahami perjuangan saya.

“Sudah pasti parti itu boleh menjadi payung kepada rakyat dan tidak meminggirkan hak orang bukan Islam,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Sri Kulim, Melor, Kelantan.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini beliau mahu menumpu untuk menjadikan MN sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berwibawa dan dihormati.

Annuar turut memaklumkan akan menilai semula pendiriannya sekiranya beliau aktif semula dalam politik.

Beliau mengulangi bahawa MN bukan sebuah parti politik dan tidak bercadang untuk mendaftar sebagai parti, tetapi untuk meneruskan program kebajikan.

Beliau menambah, misi MN adalah untuk menggalakkan permuafakatan dalam kalangan parti politik dan setakat ini telah menerima lebih 30,000 permohonan keahlian.

-BTS Media

Leave a Comment