BTS Media

PM: Saya tidak akan tunggu keputusan kes mahkamah sebelum adakan PRU15

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menolak dakwaan bahawa beliau akan menunggu untuk mengadakan pilihan raya umum sehingga kes mahkamah melibatkan pemimpin UMNO tertentu, termasuk presiden parti Ahmad Zahid Hamidi selesai.

Beliau berkata, bagaimana beliau hendak berbuat demikian kerana itu adalah urusan mahkamah.

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Asal Budi.

Penggal Parlimen sekarang akan berakhir pada Julai 2023, tetapi UMNO mendesak supaya PRU15 diadakan secepat mungkin.

Dalam wawancara sempena tahun pertama memegang jawatan perdana menteri bersama media baru-baru ini, Ismail Sabri menyifatkan hubungannya dengan Ahmad Zahid rapat.

Perdana Menteri berkata beliau mengenali presiden UMNO itu sejak di bangku sekolah kerana abangnya dan Ahmad Zahid adalah kawan baik dan rakan sebilik.

Beliau berkata apabila ponteng sekolah, beliau tumpang di bilik mereka.

“Saya mengenali isteri dan keluarganya dan sehingga hari ini, kami rapat. Apabila saya ada masa di antara mesyuarat atau acara, saya akan berjumpa dia di rumahnya,” kata Ismail Sabri.

Beliau turut menjawab mengenai dakwaan tindakan melewatkan pembubaran Parlimen yang kononnya ada kaitan dengan pergolakan dalam UMNO, khususnya hubungannya dengan Ahmad Zahid.

Ismail Sabri menyifatkan itu semua sekadar “persepsi daripada apa yang mereka sendiri tidak tahu.”

-BTS Media

Leave a Comment