BTS Media

Tok Pa akan terus berkhidmat untuk kawasan, walaupun tidak bertanding PRU15

 

Oleh Zainal AS Rashid

WALAUPUN tidak mempertahankan kerusi Parlimen Jeli pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Datuk Seri Mustapa Mohamed (Tok Pa) menegaskan beliau akan terus menjaga kawasan tersebut.

Beliau berkata keadaan kesihatannya tidak mengizinkan beliau mempertahankan kerusi itu.

“Saya tidak lagi bertanding (PRU15) di Jeli. Bagaimanapun saya masih lagi wakil rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas.

“Saya akan jaga anda semua sampai bila-bila. Sejak tahun 1994 lagi saya jaga anda semua (penduduk Jeli) dan sudah masuk 28 tahun,” katanya pada Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) 2022-2025 di perkampungan Orang Asli Sungai Rual, Jeli semalam.

Menurut Mustapa, beliau hampir setiap minggu bertemu penduduk bagi mengambil berat kerana BMTKM adalah ideanya.

Sebagai ganti, Setiausaha politiknya, Zahari Kechik diumumkan sebagai calon Parlimen Jeli bagi Perikatan Nasional (PN).

Tok Pa memenangi Parlimen Jeli atas tiket BN sejak 1995 dan mempertahankan kerusi itu selama enam penggal berturut-turut.

Pada PRU15 Zahari akan berdepan tiga lagi calon, iaitu Dr Muhammad Daud (GTA-Pejuang), Norwahida Patuan (BN) dan Md Radzi Wahab (PH).

-BTS Media

Leave a Comment