BTS Media

‘Langkah Sheraton’ mungkin menghantui Dr Mahathir pada PRU15

Oleh Yusoff A. Shariff

TUN Dr Mahathir Mohamad telah mengubah Langkawi daripada sebuah pulau nelayan kecil di utara Semenanjung Malaysia hingga menjadi destinasi pelancong antarabangsa yang berjaya.

Beliau juga telah mengisytiharkan Langkawi pulau bebas cukai dan membuka pantainya untuk perniagaan ketika beliau menjadi perdana menteri selama lebih 20 tahun.

Segala ini, bersama rekod dan pengalaman bertahun-tahun dilihat sebagai faktor yang melonjakkan populariti pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu dalam kalangan penyokong.

“Walaupun beliau mungkin menghadapi halangan dalam bersaing untuk kerusi perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang, kawasannya di Langkawi terjamin kerana beliau adalah ikon politik di sana,” kata Prof James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania kepada The Star.

Menurut Chin, Dr Mahathir mempunyai banyak kelebihan di pulau itu kerana kepercayaan penduduk kepada beliau sebagai wakil rakyat di situ.

Bagaimanapun, Chin berkata bahawa tokoh negara berusia 97 tahun itu akan berdepan dengan pelbagai isu sekiranya beliau ingin kembali sebagai perdana menteri Malaysia yang ke-10.

Chin berkata, kali ini pasti beliau akan berdepan tentangan serius untuk meraih semula kedudukan itu, kerana UMNO tentu sekali akan berkempen secara agresif untuk menafikannya kemenangan.

Bagi Chin, kelemahan Dr Mahathir akan menghantui beliau kerana ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020 membawa kepada keadaan negara sekarang setelah beliau meletakkan jawatan dan menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah selama 22 bulan.

“Ramai rakyat Malaysia, termasuk masyarakat Melayu percaya bahawa permulaan ketidakstabilan politik Malaysia bermula disebabkan peletakan jawatannya pada 2020.

Tanpa melihat kepada sebab sebenar Dr Mahathir berundur, mereka meletakkan puncanya kepada beliau.

Turut memberi pandangan, penganalisis politik bebas Khoo Kay Peng yang berkata sukar bagi Dr Mahathir mengharapkan kemenangan pada PRU15 kerana ramai pengundi tidak ingin mengulangi kesilapan memilih beliau sebagai perdana menteri.

“Beliau mengambil mudah mandat (rakyat) dengan meletakkan jawatan perdana menteri yang disandangnya buat kali kedua pada 2018.

Khoo berkata, “Dr Mahathir mempunyai banyak pilihan untuk mengekalkan kerajaan Pakatan jika beliau ikhlas. Oleh itu, saya membuat kesimpulan bahawa pengundi secara amnya tidak berminat untuk mengulangi kesilapan dengan memilih beliau sekali lagi.

Pada 2018, Dr Mahathir memenangi kerusi parlimen Langkawi dengan majoriti 8,893 menentang lawannya – Datuk Nawawi Ahmad dari Barisan Nasional dan Zubir Ahmad dari PAS.

-BTS Media

Leave a Comment