BTS Media

Beberapa isu, persoalan tentang undi pada PRU15

ATAS: Screenshot video yang mendakwa keadaan memungkin undi rosak.

 

Oleh Zainal AS Rashid

BEBERAPA mesej tentang isu pengundian yang viral di media sosial dipersoalkan kerana didakwa mengelirukan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini.

Antaranya, berhubung waktu mengundi yang disarankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut mesej itu, sekiranya gagal mematuhi waktu yang ditetapkan, pengundi tidak dibenarkan untuk mengundi.

Ia sebenarnya sekadar saranan daripada SPR bagi mengelakkan kesesakan di pusat pengundian.

Oleh yang demikian, pengundi boleh menyemak waktu yang disarankan itu menerusi aplikasi MySPR.

Orang ramai masih boleh mengundi bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 5.00 petang atau waktu yang diwartakan. Pengundi dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat akhir.

Selain waktu,  turut viral dakwaan bahawa kesan dakwat yang tidak kering akan memberikan kelebihan kepada calon tertentu.

Dalam satu video yang tersebar, kononnya individu berkenaan menunjukkan contoh kertas undi yang boleh menyebabkan wujud tanda pada bahagian pengundian apabila kertas undi tersebut dilipat.

Individu tersebut mendakwa ia menyebabkan pengundi tidak boleh menurunkan tanda pada bahagian lain, justeru undinya dianggap rosak.

Sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak SPR berhubung perkara tersebut.

Satu lagi isu ialah berhubung pengundi pos luar negara yang masih belum menerima kertas undi mereka hingga menimbulkan kebimbangan kertas undi tidak terima pada waktunya.

Turut dibangkitkan, kaedah SPR menangani keadaan sekiranya berlaku banjir. Pengundi ingin tahu apa yang perlu dilakukan pada hari mengundi.

-BTS Media

Leave a Comment