KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) perlu meraikan kebebasan mengeluarkan pandangan dan tidak mengambil tindakan terhadap guru, Mohd Fadli Salleh, sehingga sampai ke tahap dibuang kerja atau diturunkan pangkat susulan tegurannya, kata Amanah.
“Kami ingin mengingatkan KPM agar tidak menjadi institusi yang mengetepikan kebebasan dalam memberi pandangan dan pendapat dalam kalangan warga KPM.
“Kami menggesa supaya KPM tidak mengambil tindakan yang di luar daripada batas nilai manusiawi terhadap Fadli atas sikap keberanian dan keikhlasan beliau demi melihat sekolahku sejahtera dapat direalisasikan,” kata Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah, Hasan Bahrom.
Terdahulu, Fadli yang kerap menegur silibus aras tinggi bagi subjek matematik sekolah rendah, kini berdepan tindakan dibuang kerja atau turun pangkat.
Fadli guru matematik di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak mendedahkan perkara itu menerusi akaun Facebook miliknya semalam, yang antara lain menegur silibus subjek itu diajar dalam tempoh tidak mencukupi.
Dalam pada itu, Hasan berkata, kebebasan menerima pandangan akan menjadi cerminan pembinaan sistem pendidikan mengambil kira kolektiviti dalam sesuatu urusan.
Katanya, ini bagi mewujudkan persekitaran pendidikan matang, progresif dan harmoni.
“Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah memandang serius perihal tindakan yang telah dilakukan oleh KPM atas cadangan hukuman terhadap Fadli berkaitan dengan pandangan yang jujur dan kritikal.
“Sewajarnya, KPM harus melihat pandangan dikemukakan itu sesuatu perkara yang perlu diambil peduli untuk difahami maksudnya,” katanya.