BTS Media

Guru Besar capai Gred 52, kekal Guru Besar – Radzi

GURU besar sebagai pentadbir gred DG52 tidak akan kembali menjadi guru biasa di sekolah rendah seperti yang didakwa.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata perkara itu telah diputuskan semasa perbincangan peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.

Beliau memberitahu media di Sungkai, Perak pada Khamis (29 Sept) bahawa guru besar terlibat yang capai gred DG52 tidak perlu bimbang kerana mereka akan kekal guru besar untuk tempoh yang ada, dan perincian akan diumumkan sedikit masa lagi.

Pada 8 Sept lepas, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat dilaporkan meminta Radzi menjelaskan tentang dakwaan bahawa guru besar sebagai pentadbir gred DG52 akan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

Sebelum ini media melaporkan kira-kira 200 guru besar di Semenanjung Malaysia yang akan dinaikkan ke gred DG52 dalam tempoh dua tahun ini berasa bimbang kerana dikatakan akan ‘turun pangkat’ dan kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

Mengenai jumlah guru yang terlibat, Radzi berkata, perkara itu sedang dalam proses semakan, dan beliau yakin ia tidak akan mengganggu proses kenaikan guru lain.

“Dalam konteks ini, memandangkan mereka pentadbir sekolah, tidak mengapa kerana ada pentadbir yang bersara dan ada baharu yang dipilih. Perkara ini akan berterusan di peringkat guru besar dan kita akan lihat nanti, Insya-Allah tidak akan timbul masalah dalam perkara tersebut,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment