BTS Media

Kementerian Pendidikan akan lanjut kontrak lebih 2,600 guru – Radzi

GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Seramai 2,683 guru yang dilantik pada Jun 2020 atas kontrak perkhidmatan (CoS) akan dilanjutkan kontrak mereka selepas 9 Jun, kata Menteri Pendidikan.

Bercakap pada sidang media selepas majlis pecah tanah di SK Putrajaya Presint 8 (3) pada Sabtu (28 Mei), Datuk Dr Radzi Jidin berkata ini disahkan selepas kementerian menerima lampu hijau daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pada Jumaat (27Mei).

“Ini selaras dengan kenyataan saya sebelum ini bahawa Kementerian Pendidikan akan melakukan yang terbaik dalam mencari penyelesaian terbaik bagi guru yang dilantik di bawah CoS,” katanya sambil menambah kontrak guru berkenaan dijadualkan tamat pada 9 Jun tahun ini.

Awal bulan ini, Radzi berkata isu guru berkenaan akan diberi perhatian sewajarnya dan diselesaikan segera.

Beliau yang juga naib presiden BERSATU berkata, nasib 2,600 guru CoS yang dilantik pada pengambilan Jun 2020 akan diselesaikan apabila kontrak mereka dijangka disambung selama dua tahun.

Mengenai perkara berasingan, beliau berkata calon yang menghadiri temu duga bagi pengambilan “one-off” Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di bawah Gred DG41 pada 2021 boleh menyemak keputusan mereka mulai semalam (27 Mei).

Semakan boleh dibuat melalui portal SPP di www.spp.gov.my.

-BTS Media

Leave a Comment