BTS Media

Kementerian Pendidikan akan siasat sebab 24,941 tidak duduki SPM 2021

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Kementerian Pendidikan akan menyiasat punca 24,941 calon berdaftar tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin berkata sebahagian besar daripada mereka adalah calon persendirian.

Beliau berkata data akan dianalisis bagi menjejak trend sepanjang beberapa tahun sebelum ini.

Sekiranya terdapat trend yang meningkat, pihak kementerian akan mengambil langkah yang sesuai bagi mengelakkan perkara ini berulang.

Radzi berkata ada antara mereka menghadapi masalah peribadi, keluarga dan kekangan kewangan.

Bagaimanapun, katanya pihak sekolah sentiasa mendekati pelajar dan keluarga yang dikenal pasti menghadapi kesukaran untuk menduduki peperiksaan, khususnya SPM.

“Kita perlu mengenal pasti punca memandangkan kohort SPM 2021 adalah yang paling terjejas akibat wabak Covid-19,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke SMK Presint 18(1) di Putrajaya hari ini (16 Jun).

Ketika mengumumkan keputusan SPM 2021 hari ini, Ketua Pengarah Pendidikan Nor Zamani Abdol Hamid berkata seramai 24,941 daripada jumlah keseluruhan 407,097 calon yang berdaftar tidak menduduki peperiksaan itu.

-BTS Media

Leave a Comment