BTS Media

Banjir: 431 calon tidak dapat duduki peperiksaan SPM

GAMBAR ATAS: Malay Mail.

 

SERAMAI 431 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan kerana terkandas akibat banjir di tiga negeri.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, Lembaga Peperiksaan (LP) sedang mendapatkan butiran mengenai calon terlibat, dan penjadualan semula peperiksaan SPM 2022 akan dilaksanakan bagi semua calon terjejas.

Pihak kementerian turut menasihatkan semua calon SPM 2022 supaya memaklumkan kepada sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) segera, sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang ditetapkan atau pusat peperiksaan berhampiran.

“Berikutan hujan lebat berterusan pada 1 Mac 2023, sebanyak 17 pusat peperiksaan di Johor, Pahang, dan Sarawak terjejas.

“Daripada jumlah ini, sebanyak tujuh pusat peperiksaan tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalan raya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.

“Di Johor dan Pahang, seramai 195 calon terkesan dengan banjir namun berjaya digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan yang berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan,” katanya menurut Astro Awani.

Beliau berkata, calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.

“Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan pengarah pendidikan negeri.

-BTS Media

Leave a Comment