BTS Media

Ahmad Idham kini ketua penerangan Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan

Oleh Yusoff A. Shariff

BERKUAT KUASA Sabtu (9 Okt), pelakon dan pengarah filem Ahmad Idham Ahmad Nadzri dilantik sebagai ketua penerangan gabungan politik Gerakan Tanah Air (GTA) Negeri Sembilan.

Pelantikan bekas pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu diumumkan pada mesyuarat GTA yang diadakan di negeri itu, lapor Sinar Harian.

“Saya dimaklumkan apabila kerja hab pendidikan khas yang telah saya asaskan dan gerakan di Port Dickson melalui pertubuhan briged prihatin memberi impak di mata masyarakat.

“Ia juga menjadi antara faktor dinilai oleh kepimpinan tertinggi GTA di Negeri Sembilan sebelum membuat keputusan untuk mengumumkan pelantikan ini,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan itu memberikan gambaran jelas bahawa GTA bukan sekadar gabungan antara parti politik, sebaliknya turut menggabungkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan profesional dan individu.

“Buktinya, saya selaku pengerusi pertubuhan briged prihatin telah dilantik tanpa perlu menyertai mana-mana parti politik,” katanya,

GTA ditubuhkan pada Ogos lalu apabila empat parti dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada parti Pejuang, Berjasa, Putera dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) bergabung.

Ahmad Idham menyertai Bersatu pada April tahun ini, namun selepas tiga bulan, beliau  memaklumkan keluar daripada Bersatu.

-BTS Media

Leave a Comment