BTS Media

Terengganu tutup Taman Eko Rimba, rekreasi hutan kerana tengkujuh

GAMBAR ATAS: espiemovic, CC BY-SA 3.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0>, via Wikimedia Commons

 

SEMUA taman eko-rimba, laluan pendakian dan aktiviti rekreasi di Hutan Simpan Kekal di Terengganu akan ditutup sementara mulai 1 November, umum Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu

Penolong Pengarah Hutan Lipur Jabatan Perhutanan Negeri, Zaida Zakaria berkata, penutupan empat bulan itu adalah berikutan musim tengkujuh dan risiko berlaku kepala air.

“Tengkujuh dan kepala air boleh mengancam keselamatan pengunjung, jadi semua kawasan ini ditutup buat sementara waktu kepada kunjungan orang ramai sehingga 28 Februari dan akan dibuka semula pada 1 Mac nanti.

Beliau memberitahu media di Kuala Terengganu pada Rabu (28 Sept) bahawa sepanjang tempoh itu, semua aktiviti rekreasi, trekking, pacuan empat roda dan sebagainya di dalam Hutan Simpanan Kekal tidak dibenarkan.

Dalam pada itu, Zaida berkata Jabatan Perhutanan Negeri akan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan di semua kawasan yang ditutup bagi mengelak berlakunya sebarang pencerobohan.

Beliau berkata, pihaknya sebelum ini pernah mengesan pencerobohan ke Taman Eko-Rimba dan hutan simpanan kekal, dan kompaun serta tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya ingkar.

Terengganu terdapat tujuh Taman Eko-Rimba yang menjadi tumpuan pengunjung, iaitu Taman Eko-Rimba Air Menderu, Chemerong, Lata Belatan, Lata Payung, Lata Tembakah, Sekayu dan Bandar Bukit Bauk.

-BTS Media

Leave a Comment