MAYBANK akan beralih sepenuhnya kepada kaedah Secure2u yang dikatakan lebih selamat menjelang Jun 2023 bagi transaksi dalam talian berkaitan dengan pembukaan akaun, pemindahan dana dan pembayaran serta perubahan maklumat peribadi dan tetapan akaun.
“Ini adalah selaras dengan cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk bank berhijrah daripada Kata Laluan Satu Kali SMS (SMS OTP) kepada pengesahan yang lebih selamat untuk transaksi-transaksi ini,” kata bank itu dalam satu kenyataan hari ini (28 Sept).
Sekarang ini, Maybank hanya membenarkan Secure2u untuk satu peranti bagi setiap pemegang akaun untuk memastikan keselamatan pengguna.
Sebagai tambahan, Maybank memaklumkan pelanggan melalui SMS, ‘push notification’ dan e-mel apabila Secure2u telah didaftarkan pada peranti baharu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Khairussaleh Ramli berkata ini adalah sejajar dengan usaha bank untuk mengutamakan keselamatan simpanan dan transaksi perbankan dalam talian pelanggannya pada setiap masa.
“Kami kekal komited dalam membantu pelanggan kami bagi mengelakkan mereka daripada ditipu oleh penipu.
“Ini dilakukan melalui langkah keselamatan sedia ada pada masa ini dan ketika kami secara berperingkat melancarkan lebih banyak langkah yang boleh membantu untuk menghalang atau meminimumkan kemungkinan pelanggan menjadi mangsa penipuan kewangan,” katanya.
Maybank juga menyokong pengumuman BNM pada 26 Sept 2022 (Isnin) berhubung langkah-langkah yang akan diguna pakai oleh bank di Malaysia bagi memastikan kepiawaian keselamatan lebih tinggi, terutamanya bagi perkhidmatan perbankan Internet dan mudah alih.
Maybank menyediakan talian hotline 24/7 khusus untuk pelanggan melaporkan insiden penipuan kewangan.
Pelanggan boleh menghubungi hotline penipuan di +603 5891 4744 jika mengesyaki butiran perbankan mereka telah terjejas atau telah berlaku transaksi mencurigakan atau sekiranya mereka ingin menggantung akaun bank serta-merta.
Pelanggan juga boleh menghubungi Talian Perkhidmatan Pelanggan di 1 300 88 6688.
-BTS Media