BTS Media

Gangguan LRT: DBKL arah henti kerja projek berhampiran stesen Bandaraya

Oleh Zainal AS Rashid

ARAHAN henti kerja telah dikeluarkan kepada pemilik projek pembangunan berhampiran stesen LRT Bandaraya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, berikutan penemuan bahagian landasan bengkok berhampiran stesen itu pada Jumaat (27 Jan).

Dalam satu kenyataan pada Isnin (30 Jan), Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah berkata arahan dikeluarkan sebagai langkah keselamatan, sementara pihak berkuasa menyiasat perkara itu.

“Ini bagi memastikan Agensi Pengangkutan Darat (APAD) dan agensi berkaitan dapat menjalankan siasatan dan penyelidikan bagi mengenal pasti punca gangguan (perkhidmatan LRT) yang berlaku baru-baru ini.

“Projek pembangunan itu kini di peringkat awal, dan melibatkan kerja tanah di luar zon 1 dan zon 2 (zon perlindungan),” katanya.

Mahadi menambah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), melalui sebuah jawatankuasa sehenti itu, akan melibatkan APAD dan Prasarana bagi permohonan pembangunan yang terletak di dalam atau berhampiran zon perlindungan kereta api.

Rapid Rail pada Jumaat memutuskan untuk menutup laluan antara stesen Masjid Jamek dan Bandaraya sebagai langkah keselamatan sehingga kestabilan dapat dipastikan berikutan masalah jajaran landasan.

Siasatan awal mendapati kelewatan perkhidmatan LRT itu berpunca daripada kerosakan struktur jejambat di kawasan tersebut, yang dipercayai disebabkan kerja pembinaan berhampiran.

Susulan itu, perkhidmatan ulang-alik serta perkhidmatan bas alternatif disediakan untuk mengangkut penumpang.

-BTS Media

Leave a Comment