Oleh Zainal AS Rashid
Sebuah syarikat pemaju perumahan diarah menghentikan kerja pembinaan projek bertingkat selepas sebuah rumah dua tingkat di Taman Pertama, Cheras runtuh.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata kejadian berlaku setelah tembok penahan di tapak projek itu bergerak pada Ahad (22 Mei).
Dalam satu kenyataan pada Isnin (23 Mei), DBKL juga berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengarahkan penghuni enam rumah berhampiran supaya mengosongkan kediaman mereka.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Mahadi Che Ngah berkata pemaju diarahkan supaya segera memperkuatkan tembok penahan berkenaan.
Beliau berkata Institut Kerja Raya Malaysia telah dilantik sebagai perunding untuk menyelia kerja tersebut, dan pemaju juga dikehendaki menyemak semula reka bentuk tembok penahan.
Mereka juga diarah mengemukakan cadangan jangka panjang untuk menyelesaikan masalah itu, katanya pada sidang media hari ini (Isnin 23 Mei).
Mahadi berkata tempoh untuk menyiapkan kerja tersebut belum diputuskan kerana butiran, termasuk data reka bentuk projek serta urutan pembinaan di tapak berkaitan masih belum diperoleh.
Beliau juga berkata bekalan elektrik dan air ke rumah terjejas dipotong sementara kerana faktor keselamatan.
Penghuni enam rumah terbabit ditempatkan di hotel berhampiran dengan kos ditanggung oleh pemaju.
-BTS Media