Oleh Yusoff A. Shariff
SATU kumpulan dalam UMNO didakwa sedang berusaha untuk mewujudkan gabungan “Trans Perikatan-Barisan-GPS” selepas Pilihan Raya Umum ke-15, dakwa Nur Jazlan Mohamed.
Ketua UMNO Bahagian Pulai itu mendakwa kumpulan tersebut cuba melemahkan UMNO dari dalam dengan harapan untuk mempengaruhi kepimpinan parti dan rakan Barisan Nasional.
Beliau turut mendakwa bahawa kumpulan itu sanggup menerima “katak politik” dari kalangan bekas ahli UMNO dalam Bersatu untuk mengambil alih BN.
Melalui catatan di Facebook hari ini (16 Sept) beliau berkata tindakan kumpulan itu jelas mengetepikan parti dengan mengadakan perancangan sulit yang merangkumi hingga ke Borneo untuk kuasa dan kepentingan peribadi.
Nur Jazlan yang juga timbalan ketua perhubungan UMNO Johor, bagaimanapun, mendakwa Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak berminat dengan gabungan itu kerana mereka bijak dan tahu gabungan pintu belakang seperti itu tidak akan mewujudkan kerajaan yang stabil.
Menurut beliau, langkah kumpulan dalam UMNO bersama PAS ini menunjukkan mereka sanggup mengkhianati perjuangan parti sendiri untuk mengekalkan kuasa, jawatan dan gelaran mereka di Putrajaya kerana mereka tahu kedudukan mereka kini goyah.
Beliau mendakwa sejak akhir-akhir ini nampak banyak polemik Muafakat Nasional, terutama daripada PAS yang masih belum sedar UMNO telah menceraikan mereka dengan ‘talak tiga’.
Nur Jazlan menyifatkan PAS sebagai pakar ‘spin’ apabila mengeluarkan kenyataan mendakwa terdapat perbincangan antara parti itu dengan pemimpin UMNO yang sama sekali tidak benar.
Oleh itu, beliau menasihatkan PAS supaya berhenti menjadi mangsa politik kerana Tuhan tidak akan mendengar doa mereka kerana mereka tidak ikhlas.
-BTS Media