GAMBAR ATAS: The Star.
Oleh Zainal AS Rashid
ISTERI bekas perdana menteri Najib Razak menangis di mahkamah selepas didapati bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atasnya bagi setiap pertuduhan, dan tempoh penjara diperintahkan berjalan serentak dari tarikh penghakiman. Dia juga didenda sejumlah RM970 juta bagi semua pertuduhan, 30 tahun penjara jika gagal membayar.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Sambil meminta mahkamah menunjukkan rasa kemanusiaan, Rosmah berkata: “Jika ia berlaku kepada saya sekarang, ia boleh berlaku kepada anda.
“Saya mangsa semua ini. Mereka telah melakukan ini kepada suami saya,” katanya sambil mengesat air matanya, lapor The Star.
“Saya sangat sedih dengan apa yang berlaku hari ini.”
Beliau juga membangkitkan tentang sumbangannya kepada negara.
“Saya pernah menjadi wanita pertama, dan saya memulakan (projek) Permata.
Beliau juga mendakwa bahawa tiada siapa nampak beliau mengambil duit, dan tiada siapa nampak beliau mengira.
“Tapi kalau begitu kesimpulannya, takpe lah,” katanya.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan sebelum ini menyampaikan keputusan bersalah sejurus selepas menolak permohonan Rosmah supaya menyingkir beliau daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes itu.
Hakim Zaini, dalam keputusan ringkasnya, berkata beliau telah membuat penilaian maksimum dalam kes itu dan mendapati pembelaan Rosmah tidak berasas.
Peguam Rosmah Jagjit Singh berkata semasa meminta supaya diringankan hukuman bahawa Rosmah mempunyai perwatakan yang tidak bercela dan beliau telah berkhidmat untuk negara.
-BTS Media